Wednesday, November 16, 2011

Abu Yazid Al-Bustami

ILMU BENTENG PENYELAMAT DIRI

ABU YAZID AL-BUSTAMI

Abu Yazid al-Bustami seorang ahli sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Sam’an. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu dia pun bersiap sedia dengan pakaian dan cara diberitahu dalam mimpinya.

Dia masuk ke gereja Sam’an tanpa disedari oleh paderi-paderi yang hadir. Dia sama-sama menanti kedatangan ketua paderi. Setelah ketua paderi datang, ketua paderi itu tidak dapat berucap. Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, “Ada orang percaya kepada syariat Muhammad di dalam gereja ini.”

Semua paderi menjadi gempar dan mereka mahu orang itu dibunuh. Namun ketua paderi menghalang, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid al-Bustami bangun, tanpa rasa takut.

MENJAWAB 50 SOALAN BERTANYA 1 SOALAN

Ketua paderi berkata, “Wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, saya akan mengikut agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuh kamu.”

Jawab Abu Yazid al-Bustami, “Baiklah! Tanyalah apa sahaja yang kamu mahu tanyakan.”

Ketua paderi itu mengemukakan 50 soalan berterusan dan selepas itu Abu Yazid al-Bustami menjawabnya dengan tepat. Kata Abu Yazid al-Bustami, “Saya sudah jawab semua soalan tuan. Sekarang ada lagikah soalan lain?”

Semua pendeta menjawab, “Tidak ada lagi.”

Kemudian Abu Yazid al-Bustami mengemukakan pertanyaan kepada mereka. “Beritahu saya kunci syurga dan kunci langit.”

Tiada seorangpun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa mereka tidak tahu jawapannya. Baru satu soalan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid al-Bustami telah menjawab berpuluh soalan.

Mereka meminta ketua paderi menjawab, namun dia membisu. Katanya, “Bukan saya tidak mahu menjawab, tetapi saya takut kamu semua tidak bersetuju.”

Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya, mereka mendesak juga dan bersedia untuk bersetuju dan menerima kata-kata ketua paderi.

“Bahawa kunci syurga dan kunci langit itu tidak lain ialah LAILAHAILALLAH MUHAMMADURASULULLAH.” tegas ketua paderi.

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid al-Bustami berkata, “ Memang benar kata ketua kamu.”

SEMUA PADERI MEMELUK ISLAM

Abu Yazid al-Bustami menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya. Ketua paderi itu meyakinkan pengikut-pengikutnya. “Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya beritahu itu adalah benar. Saya tidak didesak oleh mana-mana tekanan. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan perkara ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu.”

“Dari mana tuan mengetahui perkara ini?” tanya salah seorang paderi.

“Dari ketua sebelum saya.” jelas ketua paderi.

“Sebelum ketua itu meninggal dunia, dia telah bersumpah bahawa perkara yang dikatakan adalah benar.” Sambung ketua paderi itu.

“Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!”

Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid al-Butami.

Ilmu Abu Yazid al-Bustami telah menyelamatkannya dari maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkannya dari kesesatan dan ilmu kedua-dua telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!

KANDUNGAN DIALOG KETUA PADERI DENGAN ABU YAZID AL-BUSTAMI

Bil.

Pertanyaan Ketua Paderi

Jawapan Abu Yazid al-Bustami

1

Yang satu tiada dua

Kewujudan Allah Maha Esa. Dia tuhan yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya.

2

Yang dua tiada tiga

Malam dan siang. Apabila pergi malam, datanglah siang dan apabila pergi siang, datanglah malam.

3

Yang tiga tiada empat

Kursi, Kalam dan Arasy Allah s.w.t.

4

Yang empat tiada lima

Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5

Yang lima tiada enam

Islam telah memfardukan solat lima waktu: Zohor, Asar, Maghrib, Isya’,dan Subuh.

6

Yang enam tiada tujuh

Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam semua kitab suci.

7

Yang tujuh tiada lapan

Tujuh petala langit dan tujuh lapisan bumi yang juga disebut di dalam kitab-kitab suci.

8

Yang lapan tiada sembilan

Bilangan malaikat yang memikul arasy Allah Taala yang disebutkan di dalam kitab suci (Ertinya): Dan akan memikul arasy tuhan kamu pada hari (kiamat) itu adalah lapan malaikat.

9

Yang sembilan tiada sepuluh

Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi perosak bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam kitab suci (Ertinya): Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10

Sepuluh yang sempurna

Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (Ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah sepuluh yang sempurna.

11

Yang sebelas

Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s.

12

Yang dua belas

Bilangan bulan dalam setahun.

13

Yang tiga belas

Mimpi Nabi Yusuf a.s. yang tersebut di dalam kitab suci: Sesungguhnya aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14

Orang yang berdusta, kemudian masuk ke syurga

Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusuf a.s. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Ya’qub a.s. bahawa Yusuf telah dimakan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itru adalah suatu dusta.

15

Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka

Mereka ialah kaumYahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (Ertinya): Telah berkata kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani, kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16

Tempat roh dalam badan manusia

Roh berada dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firman-Nya (Ertinya): Katakan roh itu dari perkara urusan tuhanku.

17

Az Zariaati Zarwaa

Nama empat macam angin.

18

Al Haamilaati Waqraa

Awan gemawan di dada langit.

19

Al Jaariaati Yusraa

Perahu-perahu yang belayar di laut.

20

Al Muqassimaati Amraa

Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Sya’ban.

21

Yang empat belas

Tujuh petala langit dan tujuh lapisan bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (Ertinya): Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapisan bumi, datanglah kepada-Ku secara patuh terhadap perintah-Ku ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, “Kami akan datang kepada-Mu secara patuh dan taat.

22

Kubur yang berjalan dengan penghuninya

Ikan besar yang menelan Nabi Yunus a.s. Nabi Yunus a.s. dibawa oleh ikan ke mana- mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23

Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh

Waktu Subuh seperti firman Allah Taala (Ertinya): Demi Subuh apabila ia terlepas.

24

Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.

Air yang dikirim oleh Ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman a.s. di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25

Empat bukan daripada golongan manusia, malaikat dan bukan dari punggung lelaki dan perempuan

Kibas yang dibawa Jibril a.s. sebagai korban ganti Nabi Ismail a.s., unta Nabi Saleh a.s. yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.s.

26

Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai sesuatu yang buruk

Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (Ertinya): Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.

27

Darah mula-mula mengalir ke bumi

Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Qabil.

28

Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.

Helah kaum wanita, seperti firman Allah Taala (Ertinya): Sesungguhnya tipu helah kaum wanita adalah sesuatu tipu helah besar atau berat.

29

Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh

Tongkat Nabi Musa a.s.

30

Wanita yang paling utama

Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khadijah dan Aishah, Asiah (isteri Firaun) dan Marim binti ‘Imran.

31

Gunung yang paling utama

Gunung Thursina.

32

Binatang yang paling utama

Kuda.

33

Bulan yang paling utama

Bulan Ramadhan.

34

Malam yang paling utama

Lailatul Qadar

35

Tentang At Thoomah

Hari kiamat.

36

Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada 5 kembang,2 bunga di matahari dan 3 bunga di tepi gelap

Pohon itu ‘tahun’ yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. 5 itu ialah 5 waktu solat, 2waktu pada waktu siang dan 3 lagi ditunaikan pada gelap menyelubungi alam.

37

Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji

Bahtera Nabi Nuh a.s.

38

Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu

Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masam dan air mulut tawar.

39

Naqir, Fatil dan Qitmir

Naqir ialah titk yang terdapat pada kulit luar benih, Fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan Qitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40

Sabid dan Labada

Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41

Sam dan Ram

Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam a.s.

42

Maksud keldai menguak

Keldai menguak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43

Maksud anjing menyalak

Anjing menyalak bemaksud: Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang Maha Berkuasa

44

Maksud jeritan kuda

Kuda menjerit bermaksud: Maha Suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45

Maksud jeritan unta

Unta menjerit membawa maksud: Hasbiyallahu wakafa billahi wakiilaa. Ertinya: Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46

Maksud nyanyian burung Bulbul

Nyanyian Bulbul bermaksud: Maha Suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47

Maksud bunyi katak

Bunyi katak bermaksud: Maha suci tuhan yang disembah di mana-mana sahaja ada makhluk-Nya dan di tempat-tempat yang tiada penghuni.

48

Maksud kata-kata burung Nakus

Maksud kata-katanya: Maha Suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49

Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan malaikat

Makhlik itu ialah lebah seperti firman Allah Taala (Ertinya): Dan tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebah…

50

Di mana malam ketika siang da di mana siang ketika malam

Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.

No comments:

Post a Comment